Thursday, 29 December 2011

Jangan menyeksa diri.. Allah SWT sayangkan hambaNya

Allah SWT menciptakan dunia seisinya untuk kemudahan manusia itu sendiri, oleh itu hendaklah manusia memanfaatkannya.

Sahabat, Anas menceritakan bahawa satu hari Rasulullah SAW melihat seorang yang dipapah oleh kedua orang anaknya menunaikan haji dengan berjalan kaki. Melihat kejadian itu, baginda bertanya, "Mengapa dengan orang ini?"

Dua anak itu berkata, "Dia bernazar hendak menunaikan haji dengan berjalan kaki."

Rasulullah SAW berkata, "Sesungguhnya Allah SWT tidak memerlukan orang yang menyeksa dirinya." Ketika itu juga Baginda memerintahkan kepada orang itu agar naik kenderaan untuk menunaikan haji.

-----

Dalam satu peristiwa lain, seseorang menziarahi tuan gurunya yang sudah lama berpisah, dia berjalan kaki beberapa batu ke rumah gurunya dengan maksud untuk mendapat pahala yang lebih. Setiba di rumah gurunya itu, tuan guru itu bertanya, "Kamu datang dengan apa?"

Anak murid itu berkata, "Saya berjalan kaki"

Apabila tuan guru itu mendengar jawapan anak muridnya itu, dia berkata, "Dia telah menciptakan kuda, bangal dan keldai agar kamu menaikinya."

Wednesday, 28 December 2011

Perbualan antara Rasulullah SAW dengan Iblis Laknatullah

Telah diceritakan bahawa Allah SWT telah menyuruh iblis laknatullah datang kepada Nabi Muhammad SAW agar menjawab segala pertanyaan yang baginda tanyakan kepadaNya. Maka, pada suatu hari, iblis laknatullah pergi menemui Rasulullah SAW dengan menyerupai orang tua yang baik lagi bersih, sedang ditangannya memegang tongkat.

Bertanya Rasulullah SAW, "Siapakah kamu ini?"
Orang tua itu menjawab, "Aku adalah iblis."
Rasulullah bertanya lagi, "Apa maksud kamu datang berjumpa aku?"
Orang tua itu menjawab, "Allah menyuruhku datang kepadamu agar kau bertanyakan kepadaku"

Lalu, Baginda Rasulullah SAW bertanya, "Hai iblis, berapa banyakkah musuhmu dari kalangan umatku?"
Iblis menjawab, "Lima belas"
1) Engkau sendiri, hai Muhammad
2) Imam dan pemimpin yang adil
3) Orang kaya yang merendah diri
4) Pedagang yang jujur dan amanah
5) Orang alim yang mengerjakan solat dengan khusyuk
6) Orang mukmin yang memberi nasihat
7) Orang mukmin yang berkasih sayang
8) Orang yang tetap dan cepat bertaubat
9) Orang yang menjauhkan diri dari segala yang haram
10) Orang mukmin yang selalu dalam keadaan suci
11) Orang mukmin yang banyak bersedekah dan menderma
12) Orang mukmin yang baik budi dan akhlaknya
13) Orang mukmin yang bermanfaat kepada orang lain
14) Orang yang menghafal al-quran dan selalu membacanya
15) Orang yang berdiri melakukan solat di waktu malam sedang orang-orang lain semuanya tidur

Kemudian, Rasulullah SAW bertanya lagi, "Berapa banyakkah temanmu dikalangan umatku?"
Jawab iblis laknatullah, "Sepuluh golongan"
1) Hakim yang tidak adil
2) Orang kaya yang sombong
3) Pedagang yang khianat
4) Peminum arak
5) Orang yang memutuskan tali persaudaraan
6) Pemilik harta riba'
7) Pemakan harta anak yatim
8) Orang yang sering menangguh dan meninggalkan solat
9) Orang yang enggan mengeluarkan zakat/sedekah
10) Orang yang selalu berangan-angan dan berkhayal dengan tidak ada faedah
Maka, mereka inilah sahabat-sahabatku yang setia."

Itulah antara perbualan Rasulullah SAW dengan iblis laknatullah. Sememangnya, kita tahu iblis adalah musuh Allah SWT dan manusia. Dari itu, hendaklah kita sama-sama sentiasa berjaga-jaga supaya tidak termasuk dalam golongan yang 10 itu, kerana itu bererti kita menjadi musuh Allah SWT. Namun, jika kita menjadi musuh iblis laknatullah, beerti kita menjadi kawan kekasih Allah SWT.

p/s : peringatan buat diriku dan teman-teman yang disayangi.. (^_^)

Kisah Kelebihan Berselawat Ke Atas Rasulullah SAW


Rasulullah SAW telah bersabda bahawa, "Malaikat Jibrail, Mikail, Israfil dan Izrail AS telah berkata kepadaku."

Berkata Jibrail AS, "Wahai Rasulullah, barang siapa yang membaca selawat ke atasmu tiap-tiap hari sebanyak 10 kali, maka akan saya bimbing tangannya dan akan saya bawa dia melintasi titian seperti kilat menyambar"

Berkata pula Mikail AS, "Mereka yang berselawat ke atas kamu, akan aku beri mereka minum dari telagamu."

Berkata Israfil AS, "Mereka yang berselawat kepadamu, akan ku sujud kepada Allah SWT dan aku tidak akan mengangkat kepalaku sehingga Allah SWT mengampuni orang itu."

Malaikat Izrail AS pula berkata, "Bagi mereka yang berselawat ke atasmu, akan aku cabut roh mereka dengan selembut-lembutnya seperti aku mencabut roh para nabi."

~Para malaikat memberi jaminan masing-masing untuk orang-orang yang berselawat ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad SAW. Semoga, saya dan anda semua para pembaca akan mengambil ikhtibar dan sentiasa berselawat ke atas Rasulullah SAW..

(^_^)

Rahsia Khusyuk Dalam Solat

Seorang ahli ibadah bernama Isam bin YUsuf, dia sangat warak dan sangat khusyuk solatnya. Namun, dia selalu khuatir jikalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasanya kurang khusyuk

Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Isam dan bertanya, "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?"

Hatim berkata, "Apabila masuk waktu solat, aku berwudhuk zahir dan batin."

Isam bertanya, "Bagaimana wudhuk zahir dan batin itu?"

Hatim berkata, "Wudhuk zahir sebagaimana biasa, iaitu membasuh semua anggota wudhuk dengan air. Sementara wudhuk batin ialah membasuh anggota dengan 7 perkara iaitu :-
1)Bertaubat
2)Menyesali dosa yang telah dilakukan
3)Tidak tergila-gilakan dunia
4)Tidak mencari / mengharap pujian orang (riya')
5)Tinggalkan sifat bangga
6)Tinggalkan sifat khianat dan menipu
7)Meninggalkan sifat dengki"

Seterusnya, Hatim berkata lagi, "Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku bayangkan Allah SWT ada dihadapanku, syurga disebelah kananku, neraka disebelah kiriku, malaikat maut berada di belakangku, dan aku bayangkan pula bahawa aku seolah-olah berdiri di atas titian 'Sirratul Mustaqim' dan aku menganggap bahawa solat ku kali ini adalah solat terakhir bagiku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik."

Hatim menyambung lagi, "Setiap bacaan dan doa dalam solat kufaham maksudnya, kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawadhuk, aku bertasyhadud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku solat selama 30 tahun."

Apabila Isam mendengar menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.

Kita? kita bagaimana?? Semoga kisah ini menjadi tauladan buat kita semua... Ingatlah, amalan pertama yang akan dihisab di akhirat kelak adalah solat....
 

Pemudi Muslimah Copyright © 2009 Paper Girl is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal